Sunday, June 26, 2011

Laporan Sinar Harian : USM beri pendidikan alam sekitar

oleh Nurliza Elami

MERBOK - Menyedari kepentingan pendidikan dan pengetahuan dalam pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar yang perlu diwujudkan dalam kalangan komuniti di Lembah Bujang, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program Memotivasi Komuniti ke Arah Kelestarian Kempen Kesedaran Kepentingan Pendidikan dan Alam Sekitar, di sini, pada 22 dan 23 Oktober lalu.

Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr Adnan Hussien berkata, pendidikan dan pengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya alam sekitar amat penting untuk membentuk masyarakat lestari selain merapatkan jurang antara penduduk kampung dan masyarakat luar.

Menurutnya, pendidikan tentang kepentingan alam sekitar juga penting kepada masyarakat kerana alam sekitar menjanjikan sumber ekonomi yang lumayan kepada manusia, kemusnahannya akan merugikan generasi masa depan.

“Pendidikan merupakan aset paling penting dan amat berharga dalam diri setiap insan tanpa mengira peringkat umur kerana melalui pendidikan masyarakat dapat mengubah kehidupan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan ekonomi negara di samping dapat meningkatkan kualiti dan taraf hidup.

“Alam sekitar menjanjikan sumber ekonomi yang lumayan kepada manusia sekiranya dimanfaatkan d
engan cara yang betul,” katanya.

Dr Adnan berkata, program yang dilihat penting mendorong penuntut Sarjana Komunikasi (Komunikasi Sains dan Alam Sekitar) Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menganjurkan program ini dengan pelbagai aktiviti kempen bersama komuniti setempat.

Sementara itu, Penaung Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak, Romli Bakar berkata, dia turut menyanjung usaha Pusat Pengajian Komunikasi dan 3C-BJIM, USM kerana berjaya menganjurkan program itu bersama penduduk kampung.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat menarik lebih banyak penyertaan dari pelbagai pihak pada masa akan datang bagi menambahkan pengetahuan kepada penduduk kampung di samping mengeratkan silaturahim demi kebaikan bersama.

“Dengan adanya program ini juga, akan ada pihak yang prihatin dengan masalah serta kekurangan yang terdapat di kampung ini yang selama ini menjadi salah satu faktor penghalang untuk anak-anak muda berjaya dalam pelajaran mereka,” katanya.

Lembah Bujang dijadikan destinasi program ini sebagai rentetan daripada pemilihan Lembah Bujang sebagai projek utama oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin ketika merasmikan buku Reaching Out..Making The Difference dan University Community Engagement di USM.

(Sinar Harian, 29 Oktober 2010, ms U28, Sekolah)
http://www.usm.my/index.php/ms/kenali-usm/arkib-berita/67-papercutting-/7224-usm-beri-pendidikan-alam-sekitar.html

0 comments: