Sunday, June 26, 2011

Laporan Akhbar : Sinar Harian

Kelab pendidikan bela anak miskin

MERBOK,KEDAH – Matlamat utama Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak ialah membasmi kemiskinan melalui sumbangan pendidikan selain memelihara serta memulihara alam sekitar khususnya hutan paya bakau.

Pengasas kelab, Romli Bakar berkata, setakat ini kelab berkenaan yang mula ditubuhkan pada 1996 sudah melahirkan lebih 200 graduan dalam pelbagai bidang selain dua penuntut berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang profesional.

Menurutnya, kelab berkenaan memberi tuisyen kepada pelajar miskin di tiga pusat utama iaitu Kampung Bujang, Kampung Sungai Batu Besi dan Kampung Belau, Merbok.

“Kami mengadakan kelas tambahan secara sukarela kepada 172 anak miskin dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam terutama dalam matapelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik bertujuan mengurangkan tahap kemunduran di samping meningkatkan keyakinan mereka menerusi kecemerlangan pendidikan,” katanya kepada Sinar Harian

Beliau berkata demikian ketika mengadakan program Kesedaran dan Penanaman Semula Bakau anjuran Sahabat Alam Malaysia Pulau Pinang sempena Hari Biodiversiti Sedunia yang disambut 22 Mei lalu.

Romli berkata, kelab itu menerima sumbangan RM72,500 daripada CIMB Islamic Bank yang digunakan untuk membela anak miskin dan mengekalkan hutan paya bakau.

“Dalam usaha mengekalkan hutan paya bakau, kita mempunyai semaian bakau sendiri yang kini mempunyai 67,000 anak bakau di mana dengan jualan anak pokok ini, dana yang dikumpul dapat digunakan ke arah pembangunan anak miskin,” katanya.

Selain itu, katanya, projek tapak semaian di Kampung Sungai Batu Besi itu ternyata mampu meningkatkan taraf hidup lima keluarga miskin yang bekerja dengannya.

Menurutnya, hasratnya hanya satu iaitu mewujudkan satu masyarakat bestari melalui pendidikan di samping menekankan sikap sayangkan alam sekitar kepada setiap ahli yang terdiri daripada golongan miskin.

Sementara itu, beliau berkata, usaha yang dijalankan kelab berkenaan mendapat sokongan padu dari badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Kelab Lions, Sungai Petani Sports Club, Hospital Pakar Metro, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Melaka serta institusi kerajaan lain.
(laporan Sinar Harian : http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9119633.asp )

0 comments: